Sunday, 14 August 2011

Sajak : Dadah Durjana


Dadah
Tika dulu kau bagai penawar
Mengukir sejarah di bidang perubatan
Penyelamat nyawa tika kesakitan
Namun kini
Martabatmu begitu hina
Hadirmu bak najis semata
Kau hanyalah pemusnah
Generasi dunia
Dadah
Kau umpama racun yang mengalir
Dalam pembuluh darah
Bagai jarum yang ditusuk hingga ke tulang
Perit..
Pedih..
Dadah
Kau durjana
Hadirmu membawa derita
Khayalan sementara cuma
Imaginasi dusta di bumi nyata
Membawa kesedihan
Mengundang derita sengsara
Dan mengusung
Kematian..

Nurkilan bersama..Md. Rz & Adik-Beradik..07.
Sumber : http://pantuncyber.wordpress.com/2007/05/01/sajak-dadah-durjana/

kesan-kesan dadah



sumber video : Youtube

Friday, 12 August 2011

Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah Antarabangsa – 26 Jun

PENASIHAT MEDIA

KUALA LUMPUR, 26 MEI 2007 – Lebih kurang 200 juta orang di seluruh dunia menggunakan dadah-dadah haram, iaitu bersamaan dengan 5 peratus daripada penduduk global yang berumur di antara 15-64 tahun mengikut Laporan Dadah Sedunia 2006 daripada Pejabat Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Dadah dan Jenayah (UNODC).
Kanabis (ganja, hashish, THC) mendahului dengan 162 juta pengguna, manakala diikuti dengan ATS (amfetamin, methamfetamin, ekstasi, methkathinon) seramai 35 juta pengguna. Secara global, dijangka lebih kurang 16 juta orang menggunakan opiat (opium, morfin, heroin, opiat sintetik) dan lebih kurang 13 juta orang menggunakan kokain.
Di Malaysia, pihak Kerajaan telah merekodkan 300,241 orang pengguna-pengguna dadah di dalam negara ini di antara tahun 1988 dan 2006 dengan 18.49% telah pun diuji HIV positif. Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah mendaftar seramai 22,811 pengguna-pengguna dadah pada tahun 2006, 12,430 orang merupakan pengguna-pengguna ulangan. Menurut data yang telah dikumpulkan oleh pihak Agensi, 97.97% pengguna-pengguna dadah yang telah berdaftar terdiri daripada lelaki manakala 71.04% berumur di antara 25 dan 29 tahun. Heroin dan morfin merupakan dadah-dadah pilihan di Malaysia, dengan 60.73% pengguna. Kebanyakan pengguna-pengguna heroin di Malaysia menyuntik dadah tersebut secara intravena.

Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah Antarabangsa, yang diadakan setiap tahun pada 26 Jun, merupakan suatu peringatan kepada kita untuk memainkan peranan masing-masing di dalam mewujudkan momentum ke arah dunia yang bebas daripada kemudaratan penyalahgunaan dadah. Sebuah kempen yang akan diadakan selama tiga tahun dengan tema  "Adakah dadah mengawal kehidupan anda?” akan dilancarkan oleh UNODC pada tahun ini yang memberi fokus kepada pelbagai aspek pengawalan dadah: penyalahgunaan dadah pada tahun 2007, penanaman dan penghasilan dadah pada tahun 2008, dan perdagangan dadah haran pada tahun 2009.
Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap masalah yang dibawa oleh dadah haram kepada masyarakat. Tiada individu, keluarga ataupun masyarakat yang selamat di mana dadah haram mengambil alih. Dadah-dadah tersebut mungkin boleh mengawal badan dan pemikiran seseorang yang mengambilnya, tanaman dadah dan pengedar-pengedar dadah mungkin mengawal petani yang menanamnya, perdagangan haram dan jenayah mungkin mengawal masyarakat-masyarakat.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) percaya bahawa mengambil dadah ATAU tidak adalah tentang mengambil pilihan yang berpengetahuan. Pendidikan yang lebih baik dan kemahiran-kemahiran hidup amat diperlukan untuk memberitahu anak-anak muda tentang kesan-kesan buruk yang berpotensi yang disebabkan oleh dadah serta membantu mereka menolak sebarang tekanan untuk melakukan percubaan. Usaha-usaha diperlukan untuk meningkatkan kesedaran tentang dadah diharamkan kerana ia merupakan suatu permasalahan; bukan permasalahan disebabkan ianya haram. Dadah penyebab masalah-masalah kesihatan dan mental. Apabila seseorang itu menjadi ketagih, ia boleh membawa padah kepada pengguna-pengguna dan mereka yang rapat dengan pengguna-pengguna tersebut. Apabila diambil secara intravena, ia boleh menyebarkan HIV. 
Pihak-pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, sekolah-sekolah, dan pihak media mestilah bekerja bersama-sama agar gandingan usaha-usaha ini dapat difokuskan terutama sekali terhadap anak-anak muda – melalui pendidikan, temuseru, jaringan-jaringan rakan sebaya, dan menggunakan landasan-landasan yang boleh membawa inspirasi kepada anak-anak muda seperti sukan, muzik dan hiburan. Dengan membabitkan serta menggalakkan para ibubapa dan guru-guru di dalam memainkan peranan mereka juga amat penting.
Sebagai maklumbalas terhadap HIV dan dadah, kita mestilah berpandukan pengetahuan sains dan bukan berdasarkan ketakutan dan kejahilan. Untuk memastikan keberkesanan di dalam perjuangan menentang HIV/AIDS dan membuat sesuatu yang betul untuk kanak-kanak di Malaysia, kita perlu memberi layanan yang lebih baik kepada pengguna-pengguna dadah, iaitu dengan memberi mereka kehormatan seperti kita memberi hormat kepada mereka yang mempunyai keperluan, dan yang berkeluarga. Apabila kita membantu pengguna-pengguna dadah kekal bebas daripada HIV, kita juga melindungi pasangan-pasangan seks mereka, anak-anak yang bakal mereka perolehi di masa hadapan dan juga masyarakat secara amnya.
Usaha-usaha kami juga termasuk bekerja untuk mengurangkan bekalan – melalui penguatkuasaan undang-undang, dan bekerja dengan negara-negara yang mengeluarkannya agar dapat memberi para petani alternatif tanaman yang lain untuk menggantikan tanaman yang haram. Melalui cara ini, kita mesti berusaha untuk menangani masalah kemiskinan dan juga bekalan dadah pada masa yang sama.
Ini merupakan cabaran-cabaran yang tidak mudah untuk ditangani. Tetapi kita tidak boleh putus asa kerana bilangan kematian yang disebabkan oleh dadah-dadah haram semakin meningkat di dalam masyarakat kita ini. Di Malaysia sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 300,000 orang yang telah menyalahgunakan dadah. Sekiranya kita tidak melawan ancaman ini dengan sains dan juga ehsan, kita tidak akan dapat mengurangkan kesengsaraan mereka, atau orang yang disayangi oleh mereka.

sumber : http://www.unicef.org/malaysia

Mengapa Wanita Malaysia terus jadi "Keldai Dadah" antarabangsa


MEREKA datang dari pelbagai negara dengan taktik dan kemahiran yang berbeza. Sangat licik hingga pergerakan mereka kadang kala sukar dikesan. Menjalankan perniagaan dadah yang keuntungannya berlipat ganda, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan pas pelajar. Sesetengahnya datang ke negara ini menyamar sebagai ahli perniagaan atau sebagai pelancong bagi memudahkan pergerakan aktiviti haram itu. Warga asing ini terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di bawah sindiket antarabangsa yang sentiasa berubah operasinya mengikut keadaan dan keperluan semasa. Dasar langit terbuka Malaysia, globalisasi dan teknologi terkini di dunia membantu memudahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengaktifkan rangkaian mereka.

Malaysia yang tidak terlepas daripada dilibatkan dalam aktiviti ini, menjadi transit atau rumah kepada penggunaan tempatan. Hasil pemantauan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia mendapati ramai daripada mereka yang terlibat ialah rakyat negara Afrika Selatan, Nigeria, Pakistan, Peru, India dan Iran yang memperdagang pelbagai jenis dadah.

WANITA DIGULA-GULA
Trend terkini ialah menggunakan wanita sebagai orang perantaraan. Untuk memancing mereka, lelaki yang bertubuh sasa, bergaya, pandai bermain kata-kata dan berlagak kaya seperti tinggal di kondominium mewah,  menjadi "gula-gula" menjinakkan mangsa.

Kebiasaannya wanita yang mudah cair dengan janji-janji manis dan kemewahan, menjadi sasaran sindiket ini untuk dijadikan kurier atau keldai dadah. Bergerak dalam kumpulan kecil atau individu, warga Afrika Barat antara yang paling dominan dikesan menggunakan wanita untuk dijadikan teman wanita yang kemudian digunakan untuk menyeludup dan mengedar dadah. Wanita yang dijadikan mangsa ini pada mulanya ditaburkan kemewahan dengan menyediakan tempat tinggal dan keperluan mahal lain termasuk dibawa melancong ke luar negara, habuan wang ringgit dan seks.
Penglibatan wanita tempatan sebagai kurier dadah antarabangsa telah menjadi isu nasional kepada Malaysia apabila ramai yang ditangkap dalam ke keadaan mereka terpedaya, di Amerika Selatan dan Eropah.

HALANG WANITA JADI MANGSA
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata pada tahun 2007 seramai 127 wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini. Berikutan bimbang dengan senario ini, Jabatan Narkotik Bukit Aman menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk menanganinya. Pasukan ini bekerjasama dengan Interpol dan berkongsi maklumat dengan polis negara lain untuk mengesan dan mengekori lelaki-lelaki ini yang cuba merapati wanita tempatan. Mereka ini akan diusir keluar dari Malaysia selepas ditahan dan diberi amaran, jika tiada dadah ditemui pada mereka untuk membolehkan mereka didakwa. Tindakan serius polis itu menyebabkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara menunjukkan penurunan berganda pada tahun lepas kepada 54 orang.
"Tahun ini sehingga Mei, hanya 8 orang dikesan dijadikan keldai setelah polis semakin mudah mengenal pasti mereka yang terlibat melalui tangkapan yang dibuat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.






WARGA ASING YANG DITAHAN
Tahun lepas seramai 34 warga negara asing ditahan -- tujuh dari Nigeria, Peru (11), Afrika Selatan (3),
India (10), China, Filipina dan Bolivia masing-masing seorang yang melibatkan rampasan heroin sebanyak 4kg kokain 2kg dan ketamin 18kg. Dari Januari hingga Jun 2009 pula seramai 17 orang ditahan -- 2 dari Singapura, Nigeria (6), Iran (1), Pakistan (3), Thailand (2), Indonesia (3). yang membabitkan rampasan 786 gram syabu dan 14.64 kg heroin.
Terbaru dari Jun hingga Ogos tidak kurang 10 orang warga asing ditahan atas kesalahan menyeludup dan mengedar dadah, antaranya lima warga India dan Myanmar yang berumur antara 30 hingga 40 tahun kerana menyeludup dadah jenis ketamin pada 15 Ogos lepas dan penahanan seorang wanita warganegara Filipina yang dipercayai menjadi keldai dadah sindiket antarabangsa untuk membawa kokain dari Amerika Selatan pada 28 Ogos lepas. Othman berkata pemantauan secara dekat polis ini menyebabkan sindiket dadah itu mengubah strategi dengan mensasarkan wanita dari negara jiran seperti Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, dan Brunei. Mengikut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, 111 wanita Filipina telah ditahan kes berkaitan dadah di China, Hong Kong dan Macau pada 2008. Angka itu menunjukkan pertambahan berlipat kali ganda berbanding hanya 16 orang ditahan pada 2007. Modus operandi mereka ini sama -- mengambil dadah dari negara Amerika Selatan seperti Peru, Argentina dan Brazil untuk dibawa masuk ke dalam negara sebelum dibawa keluar menggunakan wanita-wanita berkenaan ke negara-negara jiran dan sekitar Asia. Othman berkata kebiasaannya dadah yang dibawa dari negara sebelah Amerika Selatan ialah jenis kokain dan bukan untuk pasaran tempatan kerana pengguna dadah di negara ini tidak mengambil dadah jenis itu. Akibat kepanasan aktivitinya dikesan, sindiket itu mengubah strategi dengan menggunakan wanita Filipina untuk membawa keluar dadah terutama jenis heroin ke Ghoungzo, China, menggunakan transit ke Thailand, kemudian Kemboja dan Vietnam.

PENGLIBATAN NEGARA LAIN
Selain warga Afrika, sindiket ini juga menggunakan lelaki dari negara seperti India, Pakistan dan Iran.

Othman berkata dadah jenis ketamin ialah dadah yang biasa diseludup masuk oleh warga negara India ke Malaysia, Pakistan lebih kepada heroin dan syabu. Dadah syabu yang dibawa masuk warga Iran ke Malaysia, kata Othman, lebih untuk pasaran luar negara terutama Jepun. Pendekatan yang digunakan hampir sama -- memikat dan menjadikan wanita sebagai keldai mereka bagi menghantar bekalan ke negara luar.
Pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah sama ada melalui udara, jalan laut mahupun darat.
Daripada tangkapan yang dilakukan polis mengenal pasti beberapa kaedah popular -- 'Body Packed" atau melekatkan dadah pada badan dan menelan dadah. Othman berkata keldai dadah ini pun sanggup menggadai nyawa mereka dengan menelan dadah yang cuba dikesan. Menggunakan bagasi, merupakan kaedah lama yang digunakan penyeludup, iaitu menyediakan satu ruang khas bagi menempatkan dadah itu. Bagaimanapun banyak kejayaan pihak berkuasa mengesan penyeludupan dadah menggunakan kaedah ini. Antara taktik lain ialah menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah, bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndamkan ke dalam cairan dadah.


sumber : www.suaramalaysia.net

Thursday, 11 August 2011

10 Sebab Untuk Jauhi Dadah

Oleh Kevin Zahri. Berikutan dengan pengumuman Global Commission on Drug Policy yang menyerah kalah dalam memerangi dadah, berikut adalah 10 sebab untuk menjauhi dadah.
  1. Hukum. Sesungguhnya dadah diharamkan Allah swt.
  2. Kesihatan: Dadah seperti marijuana, kokain dan lain-lain meninggalkan kesan BURUK kepada kesihatan. Malah ia boleh membawa maut. Tambah pula dengan tabiat penagih dadah yang tidak menjaga kesihatan, malas bersenam dan lain-lain.
  3. Sakit mental. Penyakit mental lebih tinggi untuk penagih dadah. Depresi yang berterusan dan kerosakan kepada otat dan sistem saraf hasil dari pengambilan dadah adalah punca utama.
  4. Masa. Kegiatan mengambil dadah bukan sahaja membuang masa dan membahayakan anda, malah ia boleh merosakkan kehidupan anda di dunia ini. Lagi-lagi sekiranya anda perlu meluangkan masa di pusat-pusat pemulihan dan penjara.
  5. Keluarga. Dadah adalah punca pecah-belai keluarga. Penagih dadah kerap menjadi beban kepada keluarga tersayang - mencuri duit, sakit depresi, sakit mental dan lain-lain tabiat yang berpunca dari pengambilan dadah merosakkan institusi keluarga.
  6. Kerjaya. Penagih dadah tiada fokus kerjaya. Dadah adalah fokus mereka. Ramai dibuang kerja disebabkan penyalahgunaan dadah. Adakah anda ingin membuang kerjaya dan keluarga anda demi dadah?
  7. Kawan-kawan. Penagih dadah hidup keseorangan kerana mereka kehilangan keluarga, kawan-kawan yang tidak ingin terlibat sama dengan kegiatan terkutuk itu. Lama-kelamaan, penagih dadah akan mencari sesama dan terus merosakkan jalan kehidupan merakan.
  8. Depresi. Dadah tidak membawa kegembiraan. Penggunaan dadah yang berterusan akan jadikan penggunanya berasa murung, sedih dan hilang semangat. Depresi itu lama-kelamaan boleh membawa masalah lain seperti penyakit mental dan maut!
  9. Duit. Ia tidak menguntungkan sesiapa. Dadah adalah satu pembaziran duit yang amat tinggi. Tambah pula apabila penagih kehabisan duit, mereka akan melakukan apa sahaja untuk melayan penagihan mereka - curi, peras ugut, pinjaman dan lain-lain.
  10. Maut. Dadah membawa maut melalui pelbagai cara - serangan jantung, kemalangan, bunuh diri, over-dose dan lain-lain. 

Kongsi artikel ini dengan keluarga dan rakan-rakan anda supaya tidak terjerumus dalam dunia dadah yang tidak membawa apa-apa kebaikan untuk sesiapa pun.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Kevin Zahri merupakan graduan ijazah Kejuruteraan Mekanikal (minor Ekonomi) dari Universiti Northeastern (Boston), Amerika Syarikat. Beliau merupakan fitness selebriti Malaysia dan juga dikenali sebagai cikgu fitness. Dalam beberapa tahun ini, beliau telah meninggalkan impak dan kesan yang begitu besar dalam industri kesihatan dan kecergasan sebagai hos TV, penceramah, penulis dan web entrepreneur. Kevin Zahri menulis di dalam beberapa majalah dan juga web peribadi, kevinzahri.com.

Wednesday, 10 August 2011

ANti Dadah!!


Akta Dadah Berbahaya 1952...

KESALAHAN DlBAWAH ADB, 1952 METAMPHETAMINE adalah tersenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1998) dan berkuatkuasa pada 15.9.98 mengikut Akta A 1025.

JENIS KESALAHAN DAN HUKUMAN
JENIS DADAH SEKSYEN KESALAHAN BERAT DADAH HUKUMAN/DENDA
Ganja 6 Memiliki Ke bawah 20gm RM 20,000/-atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
  39A (1) Memiliki 20gm keatas tetapi kurang daripada 50gm Tidak kurang 2 tahun penjara berat tidak kurang 3 kali dan tidak melebihi 10 kali.
  39A(2) Memiliki 50gm ke atas tetapi kurang dari 200gm Penjara seumur hidup atau tidak kurang 6 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
  6B Menanam pokok ganja Tidak kira berapa pokok Penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 6 kali
  39B Mengedar 200gm ke atas MATI
Candu 9 Memiliki Ke bawah 100gm RM20,000/- atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
  39A(1) Memiliki 100gm ke atas tetapi kurang dari 250gm Tidak kurang 2 tahun penjara dan sebatan tidak kurang 3 kali tetapi tidak lebih 9 kali.
  39A(2) Memiliki 250gm ke atas tetapi kurang dari 1000gm Penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
  39B Mengedar 1000gm MATI
Heroin/ Morfin/ Monoacetyl Morphine 12(2) Memiliki Ke bawah 2gm RM20,000/- atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
  39A(1) Memiliki 2gm ke atas tetapi kurang dari 5gm Tidak kurang 2 tahun penjara dan sebatan tidak kurang 3 kali tetapi tidak lebih 9 kali.
  39A(2) Memiliki 5gm ke atas tetapi kurang dari 15gm Penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
  39B MENGEDAR 15gm ke atas MATI
Ubat Batuk 9(1) Memiliki / menjual / menyimpan / mengedar - RM3,000/- atau penjara tidak lebih dari 1 tahun atau kedua-duanya
Pil 30(3) Memiliki / menjual / menyimpan / mengedar - RM10,000/- atau penjara tidak kurang 4 tahun atau kedua-duanya
Syabu 12(2) Memiliki Kebawah 5gm RM20,000/- atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
  39A(1) Memiliki 5gm ke atas tetapi kurang dari 30gm Tidak kurang 2 tahun penjara dan sebatan tidak kurang 3 kali tetapi tidak lebih 9 kali.
  39A(2) Memiliki 30gm ke atas tetapi kurang dari 50gm Penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
  39B MENGEDAR 50gm ke atas atau lebih MATI