Saturday, 14 April 2012

inhalant

Solven-solven organic, nitrous oxide, nitrite, aerosol, glue, gam, bahan yang berasaskan solven penghapus pengilat kuku, cecair pemetik api, gasoline, cat dan penyembur rambut adalah jenis-jenis inhalan yang disalahgunakan.

Gam, petrol dan inhalan yang lain walaupun tidak perlu dibeli di pasaran haram, juga boleh menghasilkan kesan sampingan seperti dadah apabila disalahgunakan. Kekerapan menghidu gam atau petrol boleh mengkhayalkan pengguna dan menyebabkan seseorang itu ketagihan.
Kini kerajaan Malaysia dalam proses menggubal akta bahan menghkayalkan agar gejala penyalahgunaan bahan seperti ini dapat ditangani.
Kesan-Kesan Pengambilan
Percakapan yang tidak jelas, tiada koordinasi, pening, muntah dan pernafasan yang perlahan. Ianya juga boleh menyebabkan kerosakan otak, otot-otot dan sendi, masalah hati, kerosakan urat saraf, keletihan, hilang selera makan, meragam di luar kawalan, luka pada hidung atau mulut, hidung berdarah, cirit birit, pening, tingkahlaku ganjl atau berani dan kematian mengejut.

Monday, 5 September 2011

Kesan Buruk Alkohol

Setelah menjalankan kempen anti-merokok “Tak Nak”, Kementerian Kesihatan kini mengorak langkah mengadakan kempen anti-alkohol pula. Ini bertujuan bagi memberikan kesedaran tentang bahaya alkohol.

Alkohol bukan sahaja boleh memabukkan, tetapi juga mampu memudaratkan kesihatan diri sekiranya diamalkan berterusan. Ia umpama kombinasi dadah dan racun kepada badan kita. Malahan hampir setiap agama di dunia ini turut melarang tabiat tersebut di kalangan para penganutnya.

Kesan ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa. Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 – 12 jam kemudian Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun.

Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.

Kesan pada otak


1) Selepas minum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah. Alkohol terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang dan dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya.

2) Menyebabkan berlakunya penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal.

3) Kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.

Kesan pada hati

1) Setiap kali seorang peminum meminum alkohol, hati akan mengalami kecederaan (mendapat luka). Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.

2) Bengkak hati (hepatitis) juga boleh berlaku disebabkan oleh lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia menyebabkan hati mengembang dan lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya saluran darah akan membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap hepatitis akan mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan darah.

Kesan pada perut


Alkohol menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya akan menjadi semakin teruk.

Kesan pada saraf

1) Boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia, depresi dan kecenderungan membunuh diri.

Kesan pada janin

1) Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.

2) Bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.

3) Lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.

4) Mungkin mengalami anemia, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.

5) Boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.

6) Boleh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan, masalah rumah tangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya

Tuesday, 23 August 2011

Tips Kesihatan di Bulan Ramadhan

Oleh: Ahmad Fahmi Abdullah, Tahun 2 Perubatan, Universiti Al-Azhar (Kaherah)




Fisiologi Badan Manusia Ketika Berpuasa
Perubahan yang berlaku terhadap badan kita ketika berpuasa bergantung kepada panjang masa dan kekerapan kita berpuasa. Secara teknikal, badan kita mula menunjukkan perubahan 8 jam selepas makan, iaitu ketika sistem penghadaman manusia sudah kehabisan nutrient untuk diserap masuk. Ataupun dalam istilah perubatan, puasa bermaksud perubahan fisiologi badan selepas 8 jam dari tempoh akhir seseorang itu makan. Ketika keadaan normal (tidak berpuasa), glukosa yang disimpan dalam hati(liver) dan otot(muscle) merupakan sumber utama tenaga. Ketika peringkat awal berpuasa, glukosa yang tersimpan tadi merupakan sumber tenaga yang pertama sekali akan digunakan. Kemudian, setelah simpanan gulkosa tadi habis, lemak pula menggantikan glukosa tadi sebagai sumber tenaga. Lemak yang tersimpan di beberapa tempat di dalam badan terutama di lapisan bawah kulit. Sebilangan kecil glukosa akan di’bina’ melalui beberapa mekanisma di hati.
Hanya pada keadaan badan tidak menerima makanan untuk tempoh yang lama sahaja, lebih dari sehari, barulah protin digunakan sebagai sumber tenaga. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘kebuluran’(starvation) dan ianya tidak baik untuk kesihatan kerana ianya menyebabkan pemecahan otot untuk mendapatkan protin sebagai sumber tenaga. Oleh kerana itu, seseorang yang kebuluran  akan kelihatan terlalu kurus dan menjadi sangat lemah.
Ketika Ramadan kita hanya berpuasa dari subuh sehingga senja. Hal ini membolehkan kita mengisi semula simpanan tenaga yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa. Justeru, puasa menyediakan proses pertukaran sumber tenaga dari glukosa kepada lemak dalam keadaan teratur dan pemecahan otot untuk menghasilkan protein sebagai sumber tenaga dapat dielak. Penggunaan lemak sebagai sumber tenaga membantu untuk mengurangkan berat badan, memelihara otot, dan mengurangkan kandungan kolesterol badan seterusnya menuragkan risiko sakit jantung dan strok. Tambahan lagi, kehilangan berat badan turut membantu untuk mencegah diabetes dan mengurangkan tekanan darah. Proses detoksifikasi badan turut berlaku ketika berpuasa, melalui proses pelarutan dan ianya dibuang terus melalui air kencing. Selepas beberapa hari berpuasa, kandungan beberapa hormon meningkat mendadak seperti endorfin lalu meningkatkan kadar kewaspadaan (alertness) dan perasaan mental yang sihat secara umum.
Makanan yang seimbang dan pengambilan cecair amat penting ketika waktu berbuka sehingga sahur pada hari berikutnya. Pundi kencing dapat menjalankan fungsinya dengan baik ketika berpuasa dengan mengekalkan cecair dan garam dalam badan seperti Sodium dan Potassium. Namun begitu, cecair dan garam tersebut tetap boleh dikumuhkan melalui peluh.

Jenis Makanan yang Sesuai Ketika Ramadhan
Secara umumnya, berpuasa pada bulan Ramadhan mampu meningkatkan kesihatan seseorang, tetapi ada juga kemungkinan untuk menjadi lebih teruk! Faktor penentu bukan pada puasa itu sendiri, tetapi pada makanan yang diambil ketika waktu tidak berpuasa (ketika berbuka puasa sehingga sahur). Untuk mendapat manfaat yang penuh ketika berpuasa, seseorang itu perlu mengawal jenis dan kuantiti makanan sepanjang bulan yang mulia ini. Makan secara berlebihan turut memberi kesan kepada rohani dan menyebabkan sesorang itu malas dan cepat mengantuk. Diet pemakanan perlulah simple dan tiada perbezaan terlalu ketara dengan diet harian seseorang pada hari biasa. Makan yang seimbang ialah makanan yang mengandungi semua kumpulan makanan utama (karbohydrat, lemak, protin, dan lain-lain) dan menepati kuantiti yang diperlukan.
Karbohydrat kompleks adalah makanan yang akan membantu untuk membekalkan tenaga untuk jangka masa yang panjang. Karbohydrat kompleks terdapat pada bijian dan biji benih seperti barli, gandum, oat, kekacang, beras bathmathi dan lain-lain.  Makanan yang kaya dengan serat sangat membantu proses penghadaman. Ianya terdapat pada bijirin, gandum, bijian, ubi kentang, sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.
Makanan yang perlu dielakkan pula ialah makanan yang bergoreng (deep fried foods) seperti kentang goreng, ayam goreng, dan lain-lain. Kedua, makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti manisan tradisional arab, gula-gula India dan air yang terlalu manis. Minuman berkaffein perlu dielakkan kerana kaffein mengurangkan kandungan cecair badan dengan meningkatkan proses perkumuhan melalui air kencing. Kopi, teh dan kola merupakan minuman yang mengandungi kadar kaffein yang tinggi.
Ketika sahur, anda dinasihatkan untuk mengambil makanan yang tidak terlalu berat atau tidak terlalu mengenyangkan tetapi makanan tersebut kekal memberi tenaga untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, makanan yang lambat hadam merupakan makanan terbaik untuk sahur, seperti oat dan roti.  Manakala ketika berbuka, kurma disahkan sebagai makanan terbaik untuk berbuka kerana kurma memberikan tenaga yang banyak dan memberikan kesegaran kepada seseorang. Jus buah-buahan juga memberi kesan yang hampir sama dengan kurma. Selain itu, Al-quran, As-sunnah dan kajian moden mengesyorkan beberapa makanan yang baik ketika berpuasa seperti susu, kurma, daging lembu atau kambing, dan oat.

Komplikasi yang Bakal Berlaku Ketika Berpuasa.
1.Heartburn (acid indigestion)
Heartburn ialah satu situasi di mana perut seseorang akan rasa sakit (burning) kerana kandungan asid yang berlebihan. Situasi ini juga dipanggil sakit ‘gastrik’. Biasanya, puasa mengurangkan bilangan asid yang terhasil, tetapi bila seseorang berfikir tentang makanan, atau bau makanan, otak akan memberi arahan kepada perut untuk menghasilkan asid. Oleh itu, heatburn berkemungkinan akan menjadi masalah ketika berpuasa.

2.Pening Kepala (Headache)
Pening kepala merupakan masalah yang biasa yang dihadapi ketika berpuasa. Ianya datang dari pelbagai punca. Pening kepala ketika berpuasa biasanya kerana dehydrasi (kurang air dalam badan) atau lapar, rehat yang tidak cukup, atau ketiadaan bahan-bahan ketagihan seperti kaffein atau nikotin.

3.Dehydrasi
Dehydrasi juga biasa berlaku ketika berpuasa. Badan manusia kehilangan air dan garam secara berterusan melalui pernafasan, peluh dan urine. Mencegah selalunya lebih baik dari mengubat. Seseorang itu perlulah minum air yang mencukupi ketika berbuka dan bersahur bagi mengelakkan komplikasi ini. Selain itu, Oral Rehydration Salt (ORS) membantu dalam memulihkan kandungan air dan garam dalam badan.

4.Lain-lain seperti sembelit, stress dan obesity.
Oleh itu, besarlah makna Ramadan kali ini jika kita menghadapinya dengan tubuh badan yang sihat. Badan yang sihat menjadikan ibadah lebih lancar. Selamat menjalani ibadah puasa.

sumber : http://imedik.org/2011/07/tips-kesihatan-pada-bulan-ramadan/

Kenapa dibiarkan merokok???

Oleh: Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
  • Berapa billion USD dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba di serang penyakit jantung akibat rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa dari kanser yang berpunca dari rokok?
  • Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
  • Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
  • Berapa ramai imam-imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
  • Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
  • Berapa dan kenapa?

Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak mula-mula fatwa pengharaman merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke 14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warga negara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.
Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.
  1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
  2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
  3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
  4. Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt dan juga Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan)

Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.
Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.
Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?

sumber :http://imedik.org/2009/12/kenapa-dibiarkan-merokok/

Kasihanilah si dia....

Oleh AP Dr Zaihur Rashid
Apa hubungan si dia dengan anda?
Dia mungkan ayah anda. Dia mungkin suami anda. Dia mungkin anak anda. Dia juga mungkin anda sendiri…si dia adalah orang yang perlu anda kasihani.
Kenapa si dia harus dibantu dan dikasihani?
Si dia mengalami krisis diri sendiri. Di dia adalah pesakit yang perlu dibantu. Si dia adalah orang yang lemah dan tidak mampu melawan nafsu sendiri. Si dia adalah insan yang ego pada diri sendiri…..kerana si dia masih merokok.
Anda tahu bahawa si dia adalah salah seorang penyumbang statistik perokok di Malaysia?
Pada tahun 2004, statistik menganggarkan bahawa lebih daripada 5 juta rakyat Malaysia adalah perokok yang tegar. 90 % daripada mereka adalah lelaki dewasa dan selebihnya adalah remaja dan juga wanita. Rakyat Malaysia membelanjakan sekurang-kurangnya RM 50 juta sehari untuk kos merokok.
1-Kenapa si dia perlu berhenti merokok dari sudut kesihatan?
Rokok mengandungi lebih 4,000 racun berbahaya yang memudaratkan yang menjadi punca kepada penyakit seperti serangan jantung, stroke, kanser paru-paru, kanser tekak, kanser lidah dan puluhan jenis penyakit lagi.
2-Kenapa perlu berhenti dari faktor ekonomi dan pembaziran?
????? ??????????????? ???????? ????????? ????????????? ??????? ???????????? ????????? ????????
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.
Purata rakyat perokok di Malaysia menghabiskan sebanyak RM 10-15 sehari untuk kos rokok atau RM 300-450 sebulan atau RM 3540 – 5300 setahun. Ini adalah satu jumlah yang besar untuk sebuah keluarga.
Apabila dihitung untuk sebuah Negara bererti rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 20 bilion setahun untuk kos merokok. Ini tidak termasuk dengan kos rawatan di klinik dan di hospital akibat penyakit-penyakit yang berpunca daripada rokok.
3-Kenapa perlu berhenti dari faktor sosial?
Tidakkah anda tahu bahawa kebanyakan penagih dadah adalah bermula dengan ketigihan rokok? Berapa banyak keluarga yang menghadapi krisis keluarga yang berpunca daripada rokok? Berapa banyak remaja bermasalah yang berpunca daripada amalan cubaan untuk merokok?
4-Kenapa perlu berhenti dari faktor kemanusiaan?
Setiap sen yang dibelanjakan untuk rokok bererti sumbangan kepada regim Zionis di Israel untuk membunuh rakyat Palestin. Mereka yang merokok adalah penyumbang yang bersyubahat dengan kekejaman Zionis dan tentunya berdosa. Berhentilah merokok sebagai tanda anda dan si dia memboikot usaha membunuh saudara anda di Palestin.
5-Kenapa si dia masti berhenti dari pandangan syara’?
Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 yang telah pun mengisytiharkan bahawa rokok adalah haram. Fatwa ini juga telah diwartakan oleh Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Mufti Kedah. Khutbah di Masjid al Haram di Mekah juga telah kerap kali membicarakan tentang pengharaman rokok. Dari faktor ini sudah cukup untuk anda membenci jenayah rokok. Apa lagi yang mahu ditunggu?
Seruan ini saya dahulukan kepada :
1-Pemimpin dan Ahli Politik
Mereka perlu berhenti merokok kerana dia adalah pemimpin yang dipilih oleh masyarakat. Pemimpin mestilah menunjukkan contoh tauladan yang baik. Orang yang merokok tidak mampu mengawal nafsu mereka sendiri dan tidak layak untuk memimpin masyarakat. Saya menyeru agar semua parti politik tidak memilih perokok sebagai calon di dalam mana-mana pilihanraya dan sekiranya terpilih maka janganlah berikan undi untuk mereka. Dari pemerhatian saya bahawa ramai ahli politik di kalangan pemimpin UMNO, PKR dan MIC adalah perokok, bahkan masih ada di kalangan ahli parlimen PAS juga yang merupakan perokok.
2-Pemimpin Institusi Agama
Para pegawai Jabatan dan Majlis Agama Islam, para ilmuan agama, Imam-Imam dan Bilal-bilal mesti berhenti merokok kerana anda seharusnya adalah contoh  kepada masyarakat Muslim di Negara ini. Bagaimana mungkin untuk mereka menyeru orang ramai supaya mengamalkan Islam, tidak membazir, tidak berbuat perkara yang merosakkan tubuh badan, bahkan mereka seharusnya orang yang bertanggung-jawab melaksanakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 yang telah pun mengisytiharkan bahawa rokok adalah haram.
3-Para Doktor dan Pakar Kesihatan
Mereka seharusnya menjadi pejuang terhadap isu pengharaman rokok kerana mereka amat mengetahui betapa rokok merupakan punca kepada puluhan jenis penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Tidak ada sebarang kebaikan walaupun sekelumit daripada amalan merokok dari sudut kesihatan. Amat malang sekali kalau mereka sebagai pengamal perubatan turut sama terpalit di dalam kancah ini.
4-Bapa
Mereka adalah contoh yang terdekat dengan anak-anak di rumah. Anak-anak yang merokok kebanyakannya adalah dibesarkan di rumah yang mempunyai ayah atau abangnya adalah perokok.
5-Para Guru
Mereka adalah pendidik yang merupakan contoh tauladan kepada remaja selepas ayah dan abang mereka. Para pendidik mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak remaja. Bak kata-kata, ‘guru kencing berdiri murid kencing berlari’.
Ringkasnya, anda harus membantu si dia untuk berhenti merokok. Mulakan langkah dari sekarang dan jangan putus asa untuknya.
Selamat mencuba dan saya doakan anda berjaya membantu ‘si dia yang anda kasihi ini’…..

sumber : http://imedik.org/2011/05/20/